Hari ni saya selak balik kisah2 lama, dan teringatlah saya akan travel ke Kampung Bantal, perkampungan orang asli di Pahang 2 tahun lalu.. Saya tak mahu cakap banyak, mungkin artikel travelog ini mampu menceritakan segala-galanya..
Oleh : Kalamutiara
Ia adalah malam minggu. Malam suka-suka. Malam pesta.
Dan di Kampung Bantal, memang ada pesta pada malam itu. Bukan sekadar meraikan ijab dan kabul sepasang suam isteri, tapi barangkali ia simbolik kepada kesukaan seluruh penduduk kampung kepada kejayaan majlis berkenaan.
Maka, pada malam itu – 12 Jun 2010 – ketika mata hampir seluruh dunia bertumpu ke kaca televisyen, sebahagian penduduk Kampung Bantal mengolah malam mereka ke kawasan lapang berlampu limpah di sebelah rumah pengantin. Padang mini itu menjadi saksi pesta joget lambak Kampung Bantal.
Padang mini itu terletak di sisi rumah. Ada dawai asal dipasang merintang membahagikan laman rumah dengan padang berkenaan. Di laman rumah memang sudah sesak. Di situlah pelamin, di situlah khemah memasak dan di situ juga khemah makan. Dan di situ kami menikmati hidangan daging kerbau super lazat.
Daripada cerita penduduk kampung, rupa-rupanya di Kampung Bantal, majlis kenduri dilangsungkan malam. Siang adalah masa untuk menyembelih, melapah dan memasak. Melaram dengan pakaian baru dan lawa – malamlah masanya.
Di sisi padang mini adalah jalan mini. Sesuai untuk kegunaan penduduk kampung – bertar tapi luasnya mungkin sekangkang kera. Sungguh, ‘sekangkang kera’ itu bukan merujuk kepada peribahasa, tapi memang itulah luasnya. Letakkan seekor kera dan paksa dia mengangkang. Itulah luasnya. Di sisi jalan itu ada dibuka dua atau tiga gerai makanan dan minuman. Kira-kira sama seperti anda lihat ketika ceramah politik. Cuma tak semeriah atau sebanyak ceramah politik.
Dan ada dua khemah dipasang. Kedua-duanya di kawasan agak gelap. Satu di hujung pintu masuk ke rumah pengantin (barangkali untuk peniaga gerai) dan satu lagi di belakang pentas. Pentas? Ya, pentas. Tiada pentas yang sebenar kecuali khemah sederhana yang memayungi alat muzik dan pemuzik – kelompok penghibur utama pada malam itu.
Walaupun genta dan aluran irama kedengaran kira-kira jam 9.30 malam, aku dan Ode tidak melangkah ke sana sehinggalah tengah malam. Selepas menghirup teh tarik di gerai Pak Uda Hadi. Kami bergerak ke pesta joget lambak Kampung Bantal melalui laluan gelap. Jauh-jauh dan sayup-sayup terdengar irama rancak.
Kira-kira lima minit berjalan – nah, kami disambut cahaya terang. Suasana penuh gembira. Sesuailah dengan sifat pestanya. Aku mengambil masa sedikit untuk memahami bagaimana pesta itu dilangsungkan. Secara mudahnya, begini:
· Pemuzik menyampaikan apa saja lagu yang difikirkan sesuai.
· Ada sekurang-kurangnya dua orang bertindak sebagai pengacara. Dan pengacara itu juga merangkap tukang cabut undi bertuah di kalangan tetamu kenduri. Dia juga banyak kali menjadi penyanyi.
· Tetamu boleh membuat permintaan lagu. Dan entahkan wajib entahkan harus, setiap permintaan diiringi dengan sejumlah sumbangan wang. Entah untuk tuan rumah, entah untuk kugiran berkenaan. Ia diumumkan pengacara itulah.
· Jika mahu, pemohon lagu boleh menyanyi sendiri dengan iringan pemuzik kugiran itu.
· Ada empat kerusi. Ada empat gadis. Dipercayai daripada masyarakat orang asal (orang asli). Apabila muzik dimainkan, sekumpulan lelaki – sama ada anak muda, orang dewasa atau super dewasa – meluru ke depan mereka. Fahamlah aku dan Ode bahawa gadis-gadis itu menjadi teman menari orang kampung.
· Gadis orang asal itu malu-malu jika aku mengambil gambar. Tapi lincah menari ketika dipelawa. Biasanya, taraian gadis itu sama saja. Pedulilah lagu keroncongkah, lagu rakyatkah, lagu rockkah. Sama. Tarian itu campuran dangdut dan entah apa.
· ‘Penari’ lelaki kadang-kadang muncul dengan kepala bertutup. Juga beberapa orang daripada mereka membawa beg. Petua menarik perhatian gadis orang asal, barangkali.
Memang meriah. Tarian juga lincah. Seorang lelaki menarik perhatian aku dan Ode malam itu. Sekali pandang, dia mungkin orang tempatan yang bekerja di luar. Berbaju T merah kemas masuk ke seluar, seluar jeans hitam dan bertopi. Dia agak menonjol (berbanding anak muda lain di padang itu pada malam itu) dengan penampilan berkenaan. Wajahnya sentiasa cerita. Kumis dan jambang disisir rapi. Dan dia selalu bergurau-guran dengan anak dara yang datang. Pemuda pujaan sekampung, barangkali.
Dan anak muda itulah (yang kemudian aku ketahui namanya Sapran – atau mungkin Sabran) paling sering menyanyi. Lagu pop, lagu Melayu, lagu rakyat (Lemak Manis yang selalu dinyanyikan Roslan Madun) serta lagu yang aku kurang faham kata-katanya. Mungkin bahasa setempat.
Pemuzik pula terdiri daripada seorang pemain dram dan tiga pemain gitar. Panas? Ada dua atau tiga kipas meja bekerja keras menyejukkan pemuzik.
Malam kian larut. Satu demi satu permintaan lagu dibuat. Rasanya, semua permintaan itu ditunaikan. Termasuk permintaan satu pihak untuk menyanyikan enam lagu! Dan mereka tidak mahu pemuzik kugiran itu yang menjadi pengiring, malah mereka sendiri mahu menguasai pentas! Pun ditunaikan.
Mereka adalah enam anak muda (tempatan juga). Seorang vokalis merangkap ketua kumpulan (berdasarkan tugasnya memberi arahan itu ini, termasuk kepada pemain dram), seorang vokalis utama – rugged bergaya, seorang pemain dram dan dua pemain gitar. Macam-macam lagu mereka persembahkan, termasuk satu atau dua lagu ciptaan sendiri.
Daripada riak muka dan gaya bahasa badan kumpulan itu, tahulah aku bahawa mereka amat tidak berpuas hati dengan hampir semua perkara. Terutama kemampuan alat muzik berkenaan. Menggeleng kepala sajalah mereka itu ketika menyumbangkan enam lagu.
Tarian terus berlangsung dengan rancak. Macam-macam lagu. Dan semacam tarian. Semakin hangat. Maka, kerana itu jugalah agaknya anak-anak kecil (sekolah rendah) turut ‘dirasuk’ semangat muzik. Mereka berjoget lambak sesama sendiri di belakang pemuzik. Walaupun dalam gelap dan kurang diperhatikan, kehebatan dan kehangatannya tetap sama seperti di pentas utama.
Apabila waktu memasuki jam 2.30 pagi, aku dan Ode mengalah. Pesta muzik joget lambak tetap gagah. Dan aku bersama Ode terpaksa pulang kerana esok adalah program lebih mencabar – mengerau. Kami tidur dengan debar dan teruja yang tinggi untuk mengerau.
Biarlah aku buatkan catatan lain mengenai mengerau. Ia perlukan coretan khusus dan lebih panjang. Tetapi menariknya – dan aku perlu menuliskannya kerana ia ada kaitan dengan pesta joget lambak tadi – aku semakin memahami selepas menyertai program mengerau.
Ketika menaiki bot dan menunggu ikan datang dari hululah aku tahu bahawa lelaki popular malam itu sebenarnya renjer Perhilitan yang sedang bercuti. Dia memang berasal dari Kampung Bantal, tapi bertugas di Taman Negara yang terletak di antara kampung itu dengan Kuala Tahan.
Namanya Sapran (atau Sabran) dan mulutnya juga banyak. Kelakar dan penuh idea, terutama dengan wanita dan gadis.
“Saya ni artis,” katanya selepas aku mengumpan tanya: “Pukul berapa pesta malam tadi habis?”
Kata Sapran, dia ada grup muzik sendiri. The Family namanya. Dia vokalis, adiknya gitaris. Sepupunya gitaris kedua. Dan hampir setiap minggu Tha Family mendapat undangan mengadakan persembahan.
“Malam tadi pun ada,” katanya. “Tapi saya tak pegi. Anak buah saya saje yang pegi. Gitule, nak buat macammane kena bahagi-bahagi,” katanya dengan pelat yang ketara.
Apabila semua peserta mengerau sibuk menangkap ikan, Sapran antara watak paling lincah. Dia menjala, berlari ke perahu menghantar ikan dan kembali menunggu waktu terbaik untuk menjala sekali lagi dan lagi.
Ketika kumpulan menghalau ikan tiba di tempat kami menahan lukah (atau jala, sebenarnya), aku juga melihat vokalis grup kedua yang tidak berpuas hati dengan alat muzik kugiran berkenaan. Bergaya orangnya, walaupun ketika mengerau dan berendam dalam air Sungai Pahang.
Categories:
Cerita Saya