Memanfaatkan kisah Ahli Kitab

2) Mempelajari kesilapan mereka agar tidak berulang kepada kita.

Sebagai contoh ialah firman Allah:

Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.” [al-Maidah 5:77]

Antara perbuatan melampau (ghuluw) yang dilakukan oleh Ahli Kitab ialah mencipta pelbagai ibadah dan doktrin baru (bid‘ah) agar ia “melebihi” apa yang sudah sedia disyari‘atkan dalam agama mereka. Akhirnya agama mereka telah tersasar jauh daripada yang asli. Kesan-kesan bid‘ah ini dapat kita perhatikan sehingga ke hari ini.

Tidak berlebihan untuk dikatakan bahawa sebahagian umat Islam masa kini juga rancak mencipta ibadah dan doktrin agama yang baru, melebihi kesempurnaan yang sedia terkandung dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Tindakan mereka tidak jauh berbeza daripada tindakan Ahli Kitab sebagaimana ayat di atas. Oleh itu hendaklah belajar daripada kesilapan Ahli Kitab yang disebutkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam ayat di atas agar dengan itu kita semua terselamat daripada kesesatan.

Jika kaum Nasrani mencipta doktrin ketuhanan Trinity, sebahagian umat Islam mencipta doktrin Wahdah al-Wujud, iaitu kesamaan wujud antara makhluk dan Allah di mana yang benar-benar wujud hanyalah Allah, doktrin al-Ittihad, iaitu makhluk bersatu dengan Allah dan al-Hulul, iaitu Allah mengambil tempat di dalam makhluk. Doktrin-doktrin ini tidak digariskan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih serta tidak pernah menjadi pegangan generasi awal umat Islam (as-Salafusshalih). Lebih dari itu ia juga tidak menjadi pegangan generasi awal aliran tasawuf.

Categories:

Leave a Reply