Semenjak sehari dua ini saya sememangnya tidak sihat, hari ini Ahad, 6 Mac 2011 bersamaan 1 Rabiul Thani, jam 9 pagi adalah mata pelajaran Tafsir bersama Doktor Redha Huwari, kesihatan yang semakin beransur pulih ini hanyalah beransur sahaja dan bukan pulih sepenuhnya, lubang exzous utama masih lagi tersumbat dengan lendir-lendir yang menjelekkan dan sepanjang didalam kelas, saya merasakan keselesaan tidak seperti hari yang biasa tatkala lendiran ini seperti mula mencair menerusi ruang yang dikhaskan dan tidak bersama saya tisu yang mampu membantu, maka dengan itu saya hanya bertahan dan berharap agar kelas hari ini berakhir awal.

Bergegas keluarnya saya dari kelas bila tamat pelajaran hari ini pada jam 9.45 pagi dan segera ke tandas untuk mendapatkan bantuan air dan saya meneruskan perjalanan kerumah, pada fikiran saya  hanya katil, hirom dan bantal sahaja. Setibanya di pintu keluar universiti, teringat pula saya akan Ishak dengan janjinya untuk sama-sama ke bangunan Hal Ehwal Pelajar untuk berjumpa dengan mudir bahagian pertandingan seni teater bagi mengetahui syarat-syarat pertandingan tersebut lalu saya menghubunginya dan dengan sifat tolak ansur, dia sanggup pergi berseorangan berjumpa dengan mudir tersebut.

Oh, dalam perjalanan kerumah, saya lihat seorang ibu mengendung anaknya yang memegang belon, oh belon itu bergas dan terapung di udara. Maka saya teringat kisah saya mengenai belon ini, ya, zaman anak keanakan, serba yang boleh dilihat menjadi permainan itulah yang saya mahukan. Suatu hari dulu di sekolah tadika, usia tadika memang segala permainan saya mahu main. Saya biasa juga ke pasar malam dimana tempat ibu bapa saya bekerja sebagai penjual air batu dan pop corn, jika malam jumaat di Batu Jong, pasar malam sebelum bapa saya berpindah ke pasar malam Manek Urai Baru, gerai bapa saya di Batu Jong masa itu di sebelah kanannya penjual ayam goreng dan kirinya penjual belon gas. Saya sering kali lihat belon gas itu diisi gas kedalamnya lalu digantung di kepala gas dan belon itu berawang-awangan dan ada juga belon yang pecah kerana terlebih gas mahupun belon yang tidak berkualiti dan saat yang saya suka adalah melihat belon itu terlucut lalu terbang tinggi di awang putih, langit biru di atas sana dan saat ini kepala menonggak ke atas melihat kemana arah tuju belon tersebut dan tonggakan saya akan berakhir bilakalanya belon itu sudah jauh sehingga hilang di penglihatan saya ataupun belon itu pecah di atas sana atau jika cahaya matahari terlalu silau.

Hanya sekadar tengok? Tidak. Saya juga menyimpan perasaan untuk memiliki belon bulat yang berharga seringgit itu atau yang berharga seringgit setengah kiranya belon itu berbentuk love atau berbentuk seperti telinga mickey mouse dan berharga dua ringgit jika belon bulat yang dihiasi dan dililit belon panjang dan menyerupai kapal terbang dan seumpanya. Bagi saya, memegang belon tersebut sudah memadai rasanya untuk saya menikmati permainan yang ramai kanak-kanak miliki itu namun saya tidak pernah bermanja dengan bapa saya untuk memilikinya dan saya bukan jenis yang meminta sesuatu dari bapa, jika ada yang saya minta, pasti bapa akan kata, ''alah, benda tak berfaedah pun nak juga?'', dan dari saat saya ingin memiliki sesuatu sebelum saya meminta dari bapa saya, maka saya akan fikir samada ia berfaedah ataupun tidak dan jika bab makanan, bapa tidaklah berkira sangat jika saya meminta seperti dibelikan ayam goreng ataupun burger pak haji atau juga saya suka makan buah-buahan.

Suatu hari, kisah belon ini masih lagi menjadi pujangga hidup saya, saya rasa ingin memiliki belon walau sebiji sahaja yang tidak bergas.  Maka ketika tadika, saya dihantar kadang kala oleh bapa saya sendiri ataupun adakalanya dihantar oleh jiran rumah saya diseberang jalan kerana bersama saya ke tadika adalah dua orang sahabat saya yang kini tidaklah akrab seperti zaman hingusan dulu. Ada harinya bapa saya memberikan 50 sen ataupun paling kurang 20 sen kepada saya, zaman itu di tadika, waktu rehat sudah disediakan makanan seperti nasi goreng, beehun, mee goreng, nasi lemak dll, apa guna duit yang ada sekarang pada saya? saya sebenarnya tidak pandai menggunakannya, ada saja bapa saya berikan 20 sen atau 50 sen, akan saya simpan didalam poket dan dibiarkan sahaja, entah hilang entah masih ada dan adakalanya bila saya pulang, jika saya masih ingat tentang duit pagi tadi maka saya simpannya didalam tabung dan jika saya lupa maka duit itu mungkin sudah tercicir ataupun rezeki kakak kedua saya yang selalu membasuh pakaian saya dan keluarga kerana masa itu keluarga kami bukanlah mewah dan tidak mempunyai mesin basuh.

Berbalik kepada cerita belon, maka suatu hari itu kenderaan yang biasa membawa kami pulang setelah tamat waktu pengajian di tadika lambat tiba, samada ia dari kenderaan bapa saya sendiri mahupun dari jiranku iaitu bapa kawan saya ini. Oleh itu, kami bertiga berkelana sebentar ke kedai kopi yang bersebelahan tadika kami, disitu saya lihat betapa banyak makanan ringan, gula-gula dan yang penting saya lihat BELON yang masih belum ditiup dibungkus bersama dua biji gula-gula  dan dua biji guli didalam sebungkus plastik yang tergantung didinding kedai tersebut.

BELON? Ya, yang saya impikan sejak sekian lama. Saya mencapainya dengan bantuan kedai dan harga sebungkus bungkusan itu adalah jika tidak silap 30 sen atau lebih. Saya sememangnya tidak minat pada gula-gula kerana dari dulu bapa saya melarang untuk makan gula-gula dan guli juga rasa tidak berfaedah bagi saya kerana dirumah sudah terdapat alat permainan congkak dan set guli juga sudah mencukupi. Oh, apa tindakan saya? maka saya pada masa itu sedikit bijak, diberikan saya kepada kawan saya itu gula-gula tersebut dan dibuangnya saya dua biji guli yang ada bersama tadi didalam kereta milik bapa kawan saya kerana masa itu bapanya yang datang menjemput kami.

Tibanya dirumah, bapa bertanyakan saya kemana kami bertiga pergi sepanjang kelewatan kenderaan yang menjemput pulang? Maka saya jawab bahawa kami pergi membeli di kedai kopi tersebut dan bertanyakan lagi apa yang saya beli dan berapa harganya, lalu saya ceritakan kisahnya dan dari itu bapa saya melenting kerana saya membeli benda yang tiada faedahnya itu. Ada apa pada saya masa itu? Hati saya hanya mampu menyesal, saya tiup belon itu sehingga mengembang dan saya ikat dengan getah lalu saya lambungkannya dan bermain seorang diri di ruang tamu tatkala ketika itu bapa dan ibu saya sedang menyiapakan barang untuk berniaga dan abang serta kakak saya masih belum pulang dari sekolah. Disaat riang bermain dengan kesedihan, saya pun terfikir untuk mengambil sebatang pen untuk dicoretkan nama saya di atas belon tersebut, oh rupanya saya masih belum lagi mengerti bahawa pen yang tajam penanya itu mampu memecahkan belon tersebut dan saya hanya mampu lihat belon itu berkecai.

Disaat saya mendiamkan diri kerana ketakutan dimarahi oleh bapa saya, maka saya hanya mampu buat-buat tidur supaya diri saya terlena namun jika hati resah, manalah mampu menidurkan diri sehingga saya membuka television dan saya menonton segala cerita yang ada walaupun ia membosankan kerana yang saya minat hanyalah kartun pada masa itu. Entah mengapa, strategi saya untuk membuat tidak tahu tidak menjadi, maka setelah selesai kerjaan ibu saya di dapur, maka naiknya di atas rumah diruang tamu dimana saya sekarang sedang menonton television dan ibu saya serta merta bertanyakan padaku dimanakah belon? Maka apa yang harus saya jawab? Saya sejujurnya memberitahu ia sudah pecah, dan itu saya dimarahi kali kedua oleh ibu saya setelah dimarahi bapa tentang benda yang sama iaitu membeli benda yang tiada faedahnya tapi kali ini lebih laser sedikit kerana belon itu sudah pecah.

Oh, mungkin inilah sifat dan perasaan ibu bapa kepada kita, esoknya saya dibawa oleh bapa ke pasar pagi pada Hari Jumaat di Kampung Laloh dan saya dibelikan belon bergas berbentuk kapal terbang untuk dilayang dirumah, oh rupanya ibu bapa saya memahami jiwa kanak-kanak saya dan mulai dari hari itu, jika ditanya apa permainan kegemaran saya, pasti jawapan oleh adik beradik kami adalah belon bergas kerana sememangnya saya tidak minat bermain kereta mainan, bermain mainan berbentuk mercun walaupun mercun bawang dan tidak juga saya berminat bermain permainan seperti robot. Oh, ini kisah zaman kanak-kanak yang suka memerhati dan rasa ingin mengecapinya, dewasa kini kita harus faham perasaan kanak-kanak dan mereka sebenarnya bukan hendak bermain sangat tapi itu adalah kerana imignasi mereka yang inginkan kegembiaraan.

Lalu hari ini,saya teringat kembali kisah seorang pak cik yang mengatakan pada saya ketika saya sedang membaar Roti John di pasar malam Manek Urai ketika kami (saya dan pakcik itu) melihat seorang kanak-kanak menangis kerana mahukan mainan tapi tidak dihindarkan oleh ibu bapanya, kata pak cik itu kepada saya, ''Kenapa ajak anak itu datang kemari kalau kehendaknya tidak dituruti, fahamilah perasaan anak itu, cuba belikan ia mainan apa yang dia nak, sudah pasti tidak menangis dan rasa berbaloi bila dirinya di bawa kemari''. Oh betul juga kata pak cik ini, tatkala anak ini sedang leka dirumah, ibu bapalah yang mengajaknya ke pasar, bila ke pasar, permintaan anak ini tidak pula dituruti, baik biarkan sahaja anak itu dirumah dari bermain perasaan anak tersebut, kasihan dia dan hal ini jika kanak-kanak itu berfikir luar kotak untuk mendapatkan juga barang yang diidamkan maka pasti kanak-kanak itu akan mencuri bila fikiran dalam kotaknya meminta dari ibu bapa tidak berhasil!

Categories:

Leave a Reply